Apr 17, 2023 - FASSelangor FC meneruskan perjuangan saingan Liga Super 2023 perlawanan kesembilan menentang Terengganu FC pada hari esok (18 April) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya jam 10 malam.
Ini merupakan pertemuan ke-118 di antara #SELTER. Gergasi Merah telah memenangi 50 perlawanan dan 25 seri. Selain itu, 223 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini. Kali terakhir menentang Sang Penyu adalah dalam pusingan Separuh Akhir saingan Piala Malaysia 2022.
Pemain import baharu Selangor FC, Yohandry Orozco, mahu mencapai kemenangan bersama rakan sepasukan sebagai sebuah keluarga pada hari esok.
"Setakat ini, saya rasa sudah makin serasi dengan Liga Malaysia dan saya berharap untuk terus beraksi dengan baik kerana matlamat saya adalah untuk mencapai kemenangan demi kemenangan bersama Kelab Selangor.
“Secara peribadi, sasaran saya untuk perlawanan pada hari esok adalah untuk menang bersama-sama rakan sepasukan sebagai sebuah keluarga. Selain itu, saya juga mahu terus menyumbang untuk pasukan dan dalam masa yang sama cuba mengekalkan keyakinan daripada barisan jurulatih,” semangat Yohandry Orozco.
Bagi keberadaan pemain, berkemungkinan besar Fazly Mazlan akan bersama pasukan untuk perlawanan #SELTER setelah terpaksa berehat kerana mengalami kecederaan minggu lalu.
Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan mempamerkan aksi yang cemerlang dalam perlawanan ini. Semoga berjaya, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!